Dewasa ini, pelbagai serangan dan tohmahan dibuat mengenai kedudukan Melayu-Islam. Serangan yang dilakukan ini meliputi pelbagai isu seperti hak asasi untuk murtad, penyebaran ajaran Syiah, penyalahgunaan kalimah ‘Allah' dalam Bible dan sebagainya. Selain itu, serangan itu juga dilakukan terhadap sejarah negara amnya dan sejarah Melayu khasnya, demi menimbulkan kekeliruan kepada umat Melayu-Islam agar tunduk kepada desakan dan permintaan mereka.
Serangan terhadap sejarah Melayu merupakan serampang dua mata dalam mencabar kedudukan umat Melayu selaku Bumiputera asal dan pada masa sama melemahkan kedudukan Islam di negara ini, memandangkan Perlembagaan Persekutuan, ‘Melayu' di negara ini secara automatik adalah seorang Muslim. Menerusi ‘serangan' berterusan terhadap putar belit sejarah Melayu, menerusi kenyataan akhbar, media sosial, media massa dan sebagainya, dibimbangi nasib umat Melayu-Islam di negara ini berakhir seperti umat Melayu-Islam di negara Thai, apabila sejarah keagungan Kesultanan Islam-Patani lenyap dan umat Melayu-Islam di sana terpaksa beridentitikan Thai-Muslim, lalu terhapuslah identiti dan jati diri penduduk Islam di sana.
Atas dasar itulah, tiga orang blogger sejarah kontemporari tempatan bergabung tenaga dan minda demi menghasilkan sebuah catatan khas untuk memperjelas kekeliruan serta menjawab putar belit yang disengajakan terhadap sejarah bangsa Melayu. Buku ini akan memfokuskan isu-isu yang mengelirukan umat Melayu-Islam, terutamanya kepada anak muda mengenai sejarah bangsa mereka.
"Jika kita mengenali negara Barat dengan kecanggihan dan kemodenan, adakah benar orang Melayu dahulukala hanya berkeris menentang penjajah Barat?"
No comments:
Post a Comment