Terkadang kala, naratif sesuatu kisah atau riwayat Israiliyyat itu seperti sebuah sketsa yang menyampaikan sesuatu pada asalnya 'berita benar' yang berakhir dengan 'berita palsu'. Dari sudut tawasur Islam, segala ilmu pengetahuan dan pelbagai maklumat tentang segala sesuatu fenomena, kejadian atau peristiwa atau kisah-kisah yang pernah berlaku sewajarnya dijadikan iktibar, contoh teladan, pengajaran dan peringatan kepada umat manusia pada masa kini dan akan datang. Pelbagai maklumat tersebut adalah sebahagian daripada khabar atau berita ghaib yang hanya disampaikan melalui kitab-kitab suci agama-agama samawi khususnya Kitab al-Quran.
Pelbagai peristiwa dan tragedi dahsyat yang pernah menimpa umat-umat terdahulu (golongan jin dan manusia) hanya disebabkan oleh kerakusan, kesilapan dan kelalaian mereka sehingga terlanjur melakukan tindakan yang melampaui batasan. Disebabkan kufur dan fasik terhadap Allah Ta'ala, mereka tergamak melakukan pelbagai kemungkaran, kezaliman, kekejaman serta penindasan sesama sendiri sehingga menimbulkan pelbagai bencana dan kerosakan di muka bumi. Semoga buku ini bermanfaat dalam memberikan ibrah atau pengajaran, memberikan panduan agar berhati-hati terhadap dakyah musuh-musuh Islam, membantu menjadi seorang muslim yang lebih arif dalam memilih, meneliti dan melakukan pertimbangan akal budi berkaitan apa yang betul dan apa yang salah atau sesuatu yang hak dengan sesuatu yang batil , insya Allah.
No comments:
Post a Comment